Pages

Emas

Petikan daripada akhbar KOSMO! - Khamis 14 April 2011


LONDON - Harga emas dunia diramal meningkat sebanyak 13 peratus pada tahun ini menjadikan harga logam itu mencecah sehingga AS$1,600 (RM4,840) bagi satu auns (28.3 gram).


Kenaikan itu berterusan sejak 2001 didorong oleh kebimbangan terhadap inflasi yang tinggi dan kadar faedah global yang rendah.


"Kami tidak akan terkejut jika melihat harga emas melepasi AS$1,600 sebelum hujung tahun ini," kata Pengerusi Eksekutif firma penyelidikan GFMS Ltd., Philip Klapwijk dalam laporan terbarunya yang disiarkan semalam.


Ramalan itu tidak berubah daripada jangkaan awal yang dikeluarkan pada Januari lalu selepas harga emas mencatat harga tertinggi dalam sejarah iaitu AS$1,478.18 (RM4,472.23) bagi setiap auns di London pada Isnin lalu.


"Para pelabur terus bimbang mengenai inflasi dan kerajaan-kerajaan dilihat kurang berminat untuk mengetatkan polisi kewangan. Kedudukan kewangan kerajaan juga menjadi alasan kenapa pelabur kekal fokus terhadap pasaran emas.


"Penerimaan kenaikan harga oleh para pengguna akan membantu meningkatkan permintaan terhadap barang kemas selain menyediakan platform kukuh untuk pelabur menaikkan harga emas menjadi lebih tinggi," kata Klapwijk.



Harga emas dijangka meningkat sehingga RM4,840 satu auns pada tahun ini - Gambar hiasan


Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, harga emas terus naik kerana pelabur bersikap lebih berhati-hati ekoran kebimbangan terhadap nilai dolar yang lemah, inflasi tinggi, kekacauan di Asia Barat dan hutang tinggi di negara-negara Eropah.


Emas yang menjadi pemacu utama buat pembeli barang kemas dan pelabur dilihat sebagai aset selamat dalam tempoh ketidaktentuan ekonomi dan politik.


India merupakan pengguna emas terbesar dunia yang menyumbang kepada kenaikan permintaan terhadap barang kemas global.


Menurut GFMS, kenaikan permintaan di India adalah sebanyak 11 peratus kepada 2,017 tan setahun. India membeli sebanyak 685 tan emas naik sebanyak 36 peratus.


Sementara itu, Presiden Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia (MACFEA), Prof. Dr. Jariah Masud memberitahu, meskipun harga emas sentiasa meningkat dengaan kadar yang tinggi namun permintaan dalam kalangan orang ramai tidak pernah putus.


Menurut beliau, pembelian emas dalam kalangan orang ramai tidak terjejas memandangkan logam tersebut akan terus dibeli oleh mereka yang berkemampuan.


"Harga emas tidak pernah turun dengan mendadak dan kalau turun pun hanya sedikit kerana nilai emas merupakan aset terunggul, tidak boleh dimanipulasi, tahan lasak serta tiada susut nilai serta kalis inflasi," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.


Bagaimanapun beliau memberitahu, orang ramai perlu membezakan tujuan mereka membeli emas sama ada sebagai mengikut naluri keperluan atau pelaburan.