Pages

Saturday, August 27, 2011

laluan ke sbp

Pelajar jangan main mercun

Oleh BAZLI ABDUL RAHMAN
utusanperlis@utusan.com.my

PADANG BESAR 24 Ogos - Para pelajar terutama semua calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di negeri ini diberi amaran agar tidak bermain mercun kerana dikhuatiri mengalami kecederaan menjelang peperiksaan itu yang akan bermula 21 September ini.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), Mansor Lat ketika membuat gesaan itu berkata, beliau tidak mahu melihat ada calon UPSR di negeri ini yang tersenarai dalam kumpulan mangsa mercun, bunga api atau mercun buatan sendiri menjelang Hari Raya Aidilfitri ini.

"UPSR semakin dekat. Saya tidak mahu ada calon yang gagal menduduki peperiksaan berkenaan dengan sempurna kerana menderita disebabkan bermain mercun atau bunga api," ujarnya.

Sehubungan itu, Mansor turut mengingatkan ibu bapa agar memastikan anak-anak yang masih di bangku sekolah tidak bermain mercun kerana dibimbangi cedera parah atau maut ekoran terlalu ghairah bermain mercun ketika cuti penggal dan hari raya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Berbuka Puasa, Anugerah Murid Cemerlang Sekolah-Sekolah Parlimen Padang Besar dan Penyerahan Zakat Bank Rakyat di Pusat Kokurikulum JPN di Tasoh di sini semalam.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tanah, Perhutanan, Alam Sekitar dan Sumber Asli dan Penguatkuasaan negeri, Mat Rawi Kassim.

Pada majlis itu, 87 orang menerima Anugerah Pelajar Cemerlang 2009 bagi peperiksaan UPSR, Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Selain itu, enam murid yang terdiri daripada anak-anak peneroka Felda Chuping, Felda Rimba Mas dan Felda Mata Air menerima netbook bagi membantu meningkatkan kecemerlangan mereka dalam akademik.

Wang zakat Bank Rakyat yang berjumlah RM101,600 pula diagihkan kepada 2,032 murid yang layak daripada 91 buah sekolah di negeri ini.

No comments:

Post a Comment