Penyelesaian masalah usus & sembelit
Saya ingin memulakan pengambilan probiotik. Namun saya sedikit keliru apabila saya dapati banyak jenis probiotik yang terdapat di farmasi. Bagaimana saya nak memilih probiotik yang sesuai untuk saya?
Jawapan: Probiotik adalah bakteria baik yang sedia ada dalam tubuh seseorang. Masalah biasanya akan timbul apabila keseimbangan antara bakteria baik dan berbahaya terganggu. Banyak faktor yang boleh mengganggu gugat keseimbangan semula jadi ini. Faktor-faktor lazim ini termasuklah cara pemakanan harian, amalan gaya hidup, peningkatan usia, penyakit dan jangkitan dan beberapa lagi.
Untuk dijadikan panduan memilih probiotik, rujuklah kepada definisi probiotik yang diberikan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), iaitu Probiotik adalah mikro organisma hidup yang memberi manfaat kesihatan kepada hosnya apabila diambil dengan kuantiti yang mencukupi.
Probiotik sebagai mikro organisma hidup bermakna probiotik masih kekal hidup sehinggalah di saat kita mengambilnya. Pengambilan probiotik yang telah mati tidak akan memberi manfaat yang sepatutnya. Memandangkan probiotik sensitif dengan lembapan dan juga suhu atau haba, faktor penyimpanan memainkan peranan penting. Salah satu cara untuk memaksimumkan potensinya adalah dengan penyimpanan sejuk, terutamanya apabila melibatkan cuaca seperti di negara kita.
Sembelit
Probiotik memberi manfaat kesihatan kepada hosnya ini boleh dirujuk kepada memilih strain probiotik yang khusus untuk masalah kesihatan tertentu. Bukan semua probiotik adalah sama. Strain probiotik yang berbeza memberi manfaat yang berlainan. Oleh yang demikian, pilihlah probiotik yang dikaji untuk kesihatan manusia serta terbukti akan keberkesanannya. Contohnya probiotik Lactobacillus acidophilus NCFM merupakan strain probiotik yang telah dikaji dan didapati bermanfaat untuk kesihatan usus, termasuk memperbaiki masalah penghadaman seperti kembung, sembelit dan juga cirit-birit. Probiotik ini membantu mengembalikan mikro flora usus dan bermanfaat kepada hosnya dengan mengurangkan simptom sembelit dan merangsang detoksifikasi.
Bagi mereka yang seringkali mengambil antibiotik untuk merawat sebarang jangkitan, pengambilan probiotik adalah sangat dicadangkan. Berbeza dengan antibiotik, probiotik menggalak pertumbuhan bakteria yang baik dalam saluran usus dan mengembalikan keseimbangan mikro flora usus. Dengan itu, ia mengurangkan kesan sampingan yang tidak menyenangkan akibat rawatan sesetengah antibiotik. Pengambilan probiotik secara oral, terutamanya strain Lactobacillus dan Bifidobacteria dikaitkan dengan fungsi sistem pencernaan dan sistem imun yang lebih baik.
Cirit-birit
Traveler's diarrhea atau kejadian muntah-muntah dan cirit-birit semasa berkunjung ke luar negara merupakan antara fenomena lazim di alami, terutamanya apabila mengunjungi kawasan berisiko seperti pendalaman India, Afrika dan sebagainya. Probiotik dianggap sebagai salah satu perkara perlu untuk mengurangkan risiko mahupun sebagai sebahagian rawatan untuk masalah ini dengan berkesan.
Kesan positif daripada pengambilan probiotik adalah kerana keupayaannya untuk bersaing dengan patogen dan menghasilkan bahan anti mikrobial seperti bakteriosin yang boleh menghalang serangan bakteria berbahaya iaitu penyebab kepada pelbagai masalah usus seperti cirit-birit, sembelit dan ketidakcernaan.
Probiotik bukan sahaja sesuai untuk orang dewasa, tetapi ada juga strain probiotik yang dikaji untuk kesihatan dan selamat untuk anak kecil dan bayi. Probiotik boleh melindungi bayi daripada penyakit yang berulang di samping memperkuatkan imuniti. Flora usus yang seimbang bukan sahaja memperbaiki kesihatan sistem pencernaan, tetapi juga meningkatkan rintangan terhadap infeksi dan mereka yang mengambil probiotik lebih bersedia untuk menentang pertumbuhan bakteria berbahaya. Probiotik dari strain Lactobacillus reuteri Protectis melindungi usus yang merupakan komponen penting kepada sistem pertahanan yang sihat dan seterusnya membawa kepada tahap nutrisi dan perkembangan kanak-kanak yang lebih baik.
No comments:
Post a Comment