Pages

Wednesday, February 2, 2011

Perpecahan melemahkan orang melayu - Tun

Perpecahan lemahkan Melayu

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
dan SITI MAISARAH SHEIKH RAHIM
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 1 Feb. – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, masa depan orang Melayu di negara ini boleh menjadi buruk sekiranya masalah perpecahan ekoran perbezaan fahaman politik tidak dapat diselesaikan.

Beliau berkata, hakikatnya perpecahan orang Melayu kepada tiga kumpulan hanya akan menjadikan kaum itu semakin lemah hingga satu peringkat sanggup memberi apa sahaja sama ada hak atau tidak kepada pihak lain bagi meraih sokongan.

Lebih malang lagi beliau berkata, orang Melayu terpaksa berhadapan dengan risiko kehilangan kuasa kerana pada masa itu pihak lain akan menguasai negara meskipun jawatan Perdana Menteri serta menteri masih berada di tangan kaum tersebut.

‘‘Semasa wujudnya rancangan British menubuhkan Malayan Union, orang Melayu sedar bahawa hanya melalui perpaduan sahaja yang dapat menghancurkan rancangan tersebut dan akhirnya mereka berjaya.

‘‘Namun begitu orang Melayu sudah berubah dan mereka berubah dengan mudah. Hakikatnya kita telah berpecah. Dahulu pejuang-pejuang kita bersatu untuk tuntut kemerdekaan tetapi sekarang keadaan seperti itu tidak lagi wujud,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam wacana mengenai Bangsa Melayu dan Masa Depannya anjuran Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Wilayah Persekutuan di Memorial Tun Hussein Onn, di sini hari ini.

Turut hadir isteri beliau, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali dan Pemangku Presiden Mubarak, Datuk Seri Abdul Aziz Rahman.

Dr. Mahathir berkata, semua pihak harus sedar ketika orang Melayu bangun menentang British, mereka tiada kekuatan melainkan perpaduan yang sangat jitu antara mereka.

‘‘Pada zaman itu perpaduan menjadi senjata kita dan bukannya wang ringgit, kepandaian atau kekayaan. Akhirnya dengan adanya semangat perpaduan itu membolehkan kita menentang kuasa yang cukup besar,’’ ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai isu perpaduan dan kehilangan kuasa beliau berkata, ketika ini telah wujud kelompok Melayu yang tidak berkehendakkan perpaduan sesama mereka sebaliknya lebih bergantung kepada orang lain.

Beliau berkata, golongan itu juga berpendapat mereka juga tidak perlu lagi bergantung kepada inisiatif-inisiatif disediakan oleh kerajaan seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) kerana beranggapan telah ada pihak lain yang boleh membantu.

‘‘Ini akan memberi kesan kepada masa depan kita. Walaupun tidak mahu bergantung kepada DEB sebagai contoh tetapi kita bergantung pada orang lain. Ini bermakna kita bergantung juga. Sebabnya kita tidak mampu berdiri sendiri.

‘‘Mana lebih baik bergantung pada satu dasar yang dibentuk untuk memelihara kita atau terus bergantung kepada orang lain dengan harapan mereka pula akan memelihara kita,’’ katanya.

Realitinya beliau berkata, sekiranya orang Melayu bergantung pada pihak lain, lama kelamaan kaum itu akan hidup di bawah perintah mereka walaupun secara mata kasarnya pemerintahan masih dikuasai oleh pemimpin Melayu.

‘‘Secara tidak langsung kita menjadi bangsa yang lemah kerana berpecah-belah walaupun kita dipilih untuk memerintah negara ini tetapi kita sebenarnya tidak berkuasa kerana orang yang membantu kita akan mendesak kita menghormati pendapat mereka.

‘‘Saya sebenarnya khuatir jika kita jatuh kali ini kita akan jatuh dan tidak akan bangun lagi. Tidak seperti tahun 1946 kita jatuh tetapi boleh bangun kembali. Apa yang pasti masa depan atau maju mundur orang Melayu akhirnya bergantung kepada diri kita sendiri,’’ tambahnya.

Sementara itu, katanya, rakyat harus berani bertindak menjatuhkan pemimpin yang mengamalkan rasuah dalam pentadbiran mereka supaya negara tidak terus rosak di tangan golongan itu.

Dr. Mahathir berkata, ini kerana masa depan rakyat terletak di tangan pemimpin yang dipilih demi melahirkan bangsa Malaysia berjaya.

‘‘Inilah yang menjadi masalah apabila kita tidak berani menegur sekiranya kita dapati parti pemerintah dipenuhi orang yang tidak berani ditegur atau tidak suka ditegur disebabkan ada kepentingan tertentu.

‘‘Sebab itu ramai daripada kita menganggap parti yang memerintah 50 tahun ini sudah tidak relevan lagi kerana bukan sahaja pemimpin tertinggi malah peringkat pertengahan pun mengamalkan rasuah,’’ katanya.

Menurut Dr. Mahathir, sikap rakyat juga secara tidak langsung mempengaruhi perilaku pemimpin seolah-olah menyetujui segala tindakan mereka yang tidak bermoral itu.

‘‘Kita dapati orang kita ini terlalu baik walaupun mereka yang mengamalkan rasuah pun dapat layanan baik tanpa ada pengasingan,’’ katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, orang Melayu perlu menghapuskan nilai hidup yang merugikan dengan ke arah lebih berani, berdaya usaha serta menambah ilmu pengetahuan supaya mereka lebih dihormati.

‘‘Selagi ada nilai hidup yang merugikan seperti bersikap malas dan mengamalkan rasuah, orang Melayu tidak akan maju sehingga dia dihormati oleh orang lain,’’ katanya.

Bagaimanapun, beliau yakin orang Melayu mempunyai kebolehan tetapi perlu diusahakan bagi mendatangkan hasil yang baik.

‘‘Saya sedih kalau orang kata Melayu tidak ada kebolehan tetapi mereka hanya perlu lebih berusaha,’’ katanya.

No comments:

Post a Comment