Guru usah panik
Golongan pendidik dinasihatkan supaya tidak panik berikutan rancangan kerajaan melaksanakan projek perintis sistem bekerja sembilan jam Januari ini kerana keputusan itu bukan muktamad.
Timbalan Menteri Pelajaran, Datk Dr Wee Ka Siong, berkata sebaliknya ia adalah kajian awal Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) membabitkan kira-kira 5,000 guru di empat negeri iaitu Pahang, Melaka, Johor dan Sarawak bagi mengenal pasti tempoh bekerja guru.
Beliau berkata, kajian itu juga diharap dapat membuka mata pelbagai pihak yang selama ini memandang serong kepada kerjaya perguruan dan menganggap tugas seorang guru itu sangat mudah.
"Tidak perlu panik dan jangan anggap perkara itu sesuatu yang pasti dilakukan kerana kita akan bincang semula pada peringkat kementerian, malah kita juga menerima pandangan dan rungutan golongan pendidik kerana faham beban yang ditanggung mereka.
"Kita juga mahu pemerhatian ini dilakukan dengan lebih jitu termasuk mengambil kira masa persediaan mengajar,sesi mengajar, pembabitan dalam kokurikulum seperti perkhemahan pelajar yang ada kalanya menyebabkan guru bertugas lebih 18 jam dan lain-lain berkaitan tugas guru ketika ini," katanya ketika dihubungi, semalam.
Ka Siong berkata demikian sebagai maklum balas kepada ucapan Presiden Kesatuan Perkhidmtan Perguruan Kebangsaan ( NUTP ), Hashim Adnan ketika majlis perasmian bangunan kesatuan itu di Alor Setar semalam yang menyuarakan kebimbangan golongan pendidik jika sistem bekerja sembilan jam itu dilaksanakan di seluruh negara.
Kelmarin, Hashim menyatakan pendirian kesatuan terbabit yang menolak cadangan berkenaan kerana tugas guru tidak tamat selepas waktu persekolahan dan setiap guru memegang amanah besar untuk manjaga 40 pelajar setiap hari.
Pendirian NUTP itu dibuat selepas dimaklumkan program perintis selama enam bulan membabitkan 104 sekolah di empat negeri mulai tahun depan itu akan dilaksanakan dalam dua sesi iaitu 7.30 pagi hingga 4.30 petang dan 1.30 petang hingga 6.30 petang.
Ka Siong kata, beban guru juga mendorong kementerian menubuhkan Jawatankuasa Menangani Isu Beban Guru yang dipengerusikan Ketua Pengarah Pelajaran yang mengenal pasti 14 faktor beban guru, selain membuat 28 perakuan bagi mengurangkan beban itu.
Beliau berkata, tentunya golongan pendidik semakin keliru jika sistem ini diterapkan
kerana sedia maklum kerajaan juga dalam usaha menangani isu beban guru menerusi pelaksanaan pelbagai tindakan susulan selepas meneliti hasil kajian jawatankuasa berkenaan.
"Kekangan dan praktikaliti dalam melaksanakan sistem ini juga wajar diambil kira terutama dari segi pertindihan masa di antara guru sesi pagi dan petang, malah ada guru yang perlu berkongsi meja jika ia dilaksanakan," katanya
No comments:
Post a Comment