Pages

Sunday, November 27, 2011

buat lebih 1 kerja

‘Buat lebih 1 kerja’

SETIAP kali berlaku kenaikan harga barangan keperluan, pasti kedengaran rungutan masyarakat terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Golongan ini mengeluh dan berfikir bagaimana meningkatkan lagi pendapatan dalam suasana ekonomi semasa yang semakin mencabar. Walaupun banyak peruntukan serta langkah diambil kerajaan untuk membantu, isu peningkatan kos sara hidup terus membelenggu mereka.


Ikuti temu bual wartawan Bisnes Metro, Helmy Abdul Rahman dengan Pengerusi Perdasama Muda Malaysia (Perdasama Muda), Datuk Sohaimi Shahadan (gambar) mengenai cara dan langkah terbaik yang boleh dipraktikkan untuk menangani masalah peningkatan kos sara hidup.




UMUM sedia maklum hasrat kerajaan melaksanakan transformasi ke peringkat lebih tinggi seterusnya menjadikan Malaysia negara maju menjelang 2020. Bagaimanapun, dalam merealisasikan matlamat berkenaan, masyarakat perlu berdepan peningkatan kos sara diri selain pelupusan subsidi. Pada pendapat Datuk, apa yang perlu dilakukan bagi menangani masalah ini?


Tidak dinafikan golongan berpendapatan rendah dan sederhana sangat tertekan setiap kali berdepan kenaikan harga barang keperluan. Malah, golongan pertengahan, boleh disifatkan golongan ‘mudah miskin’.

Ini kerana mereka hanya memperoleh gaji yang cukup saja setiap bulan untuk menampung kehidupan. Selepas digunakan membayar keperluan keluarga dan peribadi contohnya rumah, kereta atau motosikal serta makanan, tiada lagi wang lebih yang boleh disimpan dan mereka terpaksa menjalani situasi seperti itu secara berlarutan seolah-olah tiada penghujung.Kerajaan memperkenalkan pelbagai langkah seperti Program Transformasi Ekonomi (ETP) untuk menganjak negara ke peringkat lebih baik. Bagaimanapun, tanggungjawab itu tidak boleh diletakkan di bahu kerajaan semata-mata.

Masalah yang saya nampak ialah tahap kesedaran rakyat. Mereka tidak faham banyak wang dibelanjakan kerajaan bagi tujuan menstabilkan harga.

Ia sebenarnya wang rakyat yang sepatutnya digunakan untuk pembangunan prasarana lain. Sebab itu kita jarang mendengar orang berterima kasih kepada kerajaan kerana mereka berasakan subsidi tanggungjawab yang mesti dilaksanakan sesiapa yang memerintah.

Sebagai rakyat, kita harus bersedia melakukan transformasi. Dalam konteks pendapatan, masyarakat terutama golongan bergaji kecil dan sederhana, perlu ada usaha menambah pendapatan masing-masing kerana ini bukan masanya untuk berada di takuk biasa.

Dalam hal ini, banyak yang boleh dilakukan. Antaranya, membiasakan diri untuk membuat kerja tambahan atau maksudnya mempunyai lebih daripada satu punca pendapatan.

Ataupun, orang ramai boleh berjinak-jinak dengan dunia perniagaan secara kecil-kecilan dulu sebelum meneroka pasaran lebih besar. Malah, amat rugi sekiranya kita tidak merebut peluang atas kemudahan internet dan saluran media sosial.


Datuk sering menekankan pembudayaan keusahawanan di kalangan masyarakat terutama Bumiputera. Mengapa ia begitu penting dan apakah hubungannya dalam aspek pembangunan negara?

Selain memupuk nilai positif, golongan usahawan mampu membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan kepada orang lain.

Golongan ini menjadi pemangkin bagi masyarakat sekelilingnya termasuk keluarga, jiran dan rakan terdekat untuk turut menceburi bidang perniagaan dan terus berkembang ke peringkat lebih besar, sekali gus menjana ekonomi seiring matlamat mewujudkan masyarakat berpendapatan tinggi.

Selain itu, umum mengetahui golongan Bumiputera kurang terdedah budaya usahawan seperti kaum lain dan kerana itu amat penting mewujudkan budaya seperti ini yang dapat melahirkan masyarakat cemerlang dan berbudaya niaga.


Datuk mempunyai pengalaman luas dalam perniagaan. Pada pandangan Datuk, apa yang menyebabkan ramai kalangan usahawan baru tidak dapat bertahan?

Biasanya, ramai usahawan baru tidak mempunyai idea atau petunjuk memulakan perniagaan selain berniaga secara ikut-ikutan tanpa mempunyai hala tuju. Selain itu, mereka tidak mempunyai tempat rujukan untuk membantu. Hal sebegini sering menjadikan seseorang itu gagal dalam perniagaan.

Sebenarnya, seseorang peniaga itu perlu kreatif dan tidak menjual produk sama seperti terdapat di pasaran selain terlebih dulu mendalami ilmu niaga daripada orang berjaya

No comments:

Post a Comment