Belajar baiki enjin pesawat
Oleh Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my PANDANGAN skeptikal yang dilemparkan kepada pelajar kursus kemahiran wajar diperbetulkan kerana golongan itu turut menyumbang tenaga kerja profesional dengan gaji lumayan.
Kursus kemahiran bukan saja diperakui industri tempatan tetapi mendapat permintaan tinggi di seluruh dunia.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Aviation Training Academy (MATA), Sulaiman Dahlan, berkata pelajar kemahiran mampu memperoleh kejayaan cemerlang setara mereka yang memperoleh keputusan akademik cemerlang.
Beliau berkata, kesedaran rendah masyarakat yang lebih cenderung kepada akademik semata-mata menyebabkan banyak peluang kemahiran ditawarkan pelbagai pihak terbiar begitu saja.
“Ini mengakibatkan pelajar yang kurang pencapaian akademiknya tidak tahu arah tujuan sehingga menyumbang kepada peningkatan gejala sosial.
“Bidang kemahiran bukan kelas kedua kerana sumbangannya kepada negara sangat besar,” katanya.
Kekurangan maklumat mengenai bidang kemahiran ditawarkan menjadikan mereka tidak tahu ada bidang lain mampu memberi pulangan lumayan.
“Kebanyakan hanya tahu mengenai kemahiran tahap sederhana menyebabkan bidang kemahiran tinggi dan profesional diabaikan.
“Sebenarnya, negara ada menawarkannya sebagai satu usaha memartabatkan bidang kemahiran negara dan memba-ngunkan modal insan berpendapatan tinggi cuma masyarakat tidak tahu,” katanya.
Bagi merealisasikan hasrat negara melahirkan golongan profesional berkemahiran, MATA menawarkan kursus kejuruteraan penyelenggaraan pesawat berlesen dan juruteknik penyelenggaraan pesawat berlesen.
Ini memberi laluan mereka menjadi jurutera dan juruteknik penyelenggaraan pesawat berlesen yang mempunyai kelayakan diiktiraf Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan standard antarabangsa.
Pada masa kini, hanya lima institusi memperoleh kelulusan DCA untuk menjalankan program berkenaan iaitu Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS), Dilog, Universiti Kuala Lumpur-Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL-MIAT), Aero Precision Resources dan MATA.
Katanya, potensi besar dalam industri penerbangan dunia menjadikan kerjaya itu mempunyai ada prospek tinggi.
“Justeru MATA menawarkan peluang keemasan ini membantu negara dan pelajar mencapai potensi pekerjaan lumayan serta bertaraf profesional.
“Mereka didedahkan dengan pelbagai kemahiran khusus berbentuk teknikal, praktikal dan latihan pekerjaan.
“Apabila tamat, pelajar berpeluang bekerja dengan syarikat penerbangan nasional dan global,” katanya.
MATA juga satu-satunya institusi yang memperoleh pengiktirafan Sijil Kemahiran Malaysia Tahap Empat (setaraf diploma) oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran di bawah Kementerian Sumber Manusia.
Dua kampus MATA di Bandar Indera Mahkota, Kuantan, Pahang dan Alor Setar, Kedah dengan jumlah pelajar keseluruhan kini seramai 53 orang.
Malaysian aviation training academy
12a, jalan PJU 5/15, Dataran Sunway,
Kota Damansara, 47810, Petaling Jaya
Selangor
03-61577644
www.MataAviation.com
No comments:
Post a Comment